KOTA KINABALU, 17 April 2025 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah telah melancarkan Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) pada 26 Mac 2025, sebagai satu langkah strategik untuk melonjakkan pengeluaran hasil pertanian dan memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar Sabah. RAER bertujuan mengukuhkan keterjaminan makanan negeri dan negara, di samping meningkatkan pendapatan golongan sasar luar bandar.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN N.39 Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri Sabah semalam.
Jelasnya, RAER diselaraskan oleh MAFFI dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dan pihak berkepentingan yang lain. Strategi pelaksanaan merangkumi peningkatan kesedaran dan penglibatan komuniti, pengukuhan kerjasama kerajaan-swasta-rakyat, serta penubuhan unit khas pemantauan dan penyelarasan di dalam MAFFI.
RAER menyasarkan penyertaan 100,000 individu atau isi rumah, dengan penekanan pada keusahawanan, inovasi, dan kecemerlangan. Fokus utama adalah pengurusan tanah, tenaga kerja, dan sumber berkaitan, memanfaatkan 10% daripada 3 juta hektar tanah bergeran berstatus Native Title (NT). Program yang dirancang termasuk penanaman tanaman bernilai tinggi, akuakultur air tawar, penternakan, dan pemprosesan/industri asas tani. Slogan “Unity is Duty” akan dipromosikan sebagai elemen penyatuan.
Selain RAER, MAFFI juga meneruskan Program Pemodenan Penanaman dan Pengeluaran Padi di bawah Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) serta pembangunan tanah terbiar. Langkah proaktif diambil bagi menangani impak perubahan iklim terhadap sekuriti makanan.
Beliau juga mengatakan bahawa Pelancaran RAER dijangka dilaksanakan pada Mei 2025 dengan anggaran peruntukan RM60 juta untuk tempoh enam tahun (2025-2030). MAFFI memainkan peranan penting sebagai agensi peneraju dalam menyelaras dan memantau pelaksanaan RAER, dengan harapan untuk mentransformasikan ekonomi luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Sehubungan dengan itu katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac 2025 telah meluluskan penubuhan Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA). SAMA, yang akan diselia oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), bertujuan untuk mengawal selia, mentadbir, dan memasarkan produk pertanian Sabah, khususnya dari kawasan luar bandar.
Penubuhan SAMA adalah untuk membantu petani dan pengusaha pertanian kecil di Sabah yang hasil pertanian mereka masih berada di tahap sara diri dan kurang mencapai tahap pemasaran komersial.
Menurutnya lagi, fokus SAMA terhadap pemasaran hasil pertanian dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sub-sektor tanaman di Sabah, kerana para petani akan dapat menumpukan usaha untuk meningkatkan hasil pertanian tanpa perlu risau tentang aspek pemasaran.